UNTUK RAKYAT… JKR Sarawak menyerahkan dokumen projek jalan sempena Majlis Penangguhan Pesta Matu
di Matu, semalam.
MATU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menambah jumlah rumah untuk dibina di bawah Projek Rumah Spektra Permata (RSP) di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini berikutan permintaan rakyat di banyak kawasan untuk rumah jenis itu.
“Bukan di Matu ini sahaja meminta tambahan untuk rumah ini, malah di Dalat dan Telian, Mukah, kita bagi.
“Semua kawasan kita bagi,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 di sini semalam.
Sempena lawatan sehari itu, Abang Johari turut meninjau tapak projek Rumah Spektra Permata di Kampung Tian yang sudah siap dibina dan merasmikan Medan Selera Matu.
Beliau turut meninjau tapak projek Bandar Baru Matu, projek pembinaan benteng hakisan Kuala Matu dan Majlis Pecah Tanah Masjid Kuala Matu.
Abang Johari berkata, untuk pembelian Rumah Spektra Permata itu, Kerajaan Sarawak membayar deposit RM10,000 bagi membantu golongan B40.
“Inilah dasar baharu kita, untuk memberi deposit RM10,000 secara percuma.
“Kita tahu, mereka yang berusia 27 hingga 30 tahun, apatah lagi ada anak kecil, gaji belum besar dan berdepan masalah simpanan untuk membeli rumah. Kita akan bantu,” katanya.
Ujarnya, pinjaman itu diurus oleh Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd. dengan mengenakan hanya satu peratus kadar faedah berbanding tiga peratus dikenakan oleh bank konvensional.
Beliau berkata, Kerajaan GPS turut memberi secara percuma proses menembok tanah, membina sistem perparitan dan jalan raya di kawasan Projek Rumah Spektra Permata.