SHEILA ZAIDI
SERIAN: Semua golongan masyarakat perlu memainkan peranan penting dan mengamalkan amalan kesihatan dan kebersihan pada setiap masa dalam situasi penularan wabak Covid-19 ini.
Ahli Dewan Undangan Bukit Semuja John Ilus berkata, setiap individu perlu memberikan kerjasama dan jujur sekiranya pernah mempunyai kontak dekat dengan mana-mana kluster Covid-19 ini.
“Hal ini adalah untuk mengelak wabak ini merebak bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga pegawai kesihatan yang menjalankan pemeriksaan.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini demi kesejahteraan dan kesihatan semua,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut John, beberapa ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasannya telah mengambil tindakan yang tepat dengan menghalang kemasukan orang luar ke kampung mereka.
Katanya,mereka telah bertindak dengan meletakkan notis amaran yang tidak membenarkan pelawat daripada luar untuk berkunjung ke kawasan kediaman mereka.
Beliau turut menggalakkan JKKK, penduduk kampung dan masyarakat mematuhi semua arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan dan dikuatkuasakan sepanjang tempoh PKP ini tambahan pula Serian kini telah menjadi salah satu kawasan ‘hotspot’ untuk Covid-19.
Katanya, kita tidak mahu situati seperti ini berterusan kerana banyak kesan negatif yang akan dihadapi.
Namun, jelas John, kita tetap perlu bersedia kerana tidak tahu bagaimana dan apa yang akan berlaku pada gelombang yang seterusnya.
Isnin lalu, Sarawak telah mencatatkan tiga kematian dengan 76 kes positif akibat virus ini di Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.
Tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan mengguna pakai khidmat Angkatann Tentera Malaysia (ATM) untuk memantau pergerakan orang awam sepanjang tempoh PKP menunjukkan kerajaan tidak mengambil ringan akan perkara ini.
“Oleh yang demikian, kita perlu mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan sekiranya tidak mahu tempoh PKP ini dilanjutkan.
“Kita juga tidak mahu negara kita menjadi seperti Itali seperti yang dilaporkan yang mana Perdana Menteri mereka telahpun mengumumkan menyerah kalah kepada penularan wabak ini,” tegasnya.
John turut merakamkan ucapan penghargaannya kepada pasukan barisan hadapan yang telah berkorban demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Katanya, beliau mendapat maklum balas daripada beberapa pihak yang menyatakan bahawa rakyat semakin akur dan faham akan arahan yang dikeluarkan.
Banyak yang memberikan kerjasama dan diharapkan ia akan berterusan sehingga keadaan semasa berada dalam situasi terkawal, tambahnya.