SEKTOR automotif alami pemulihan menggalakkan dalam penjualan kereta, terbukti daripada peningkatan
jumlah tempahan yang dicatatkan untuk model popular.
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan bersetuju dengan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi tahun 2022 iaitu sebanyak 600,000 unit untuk sektor automotif.
Dalam satu nota penyelidikan semalam, MIDF Research menyatakan ia menjangka melihat pemulihan yang memberangsangkan dalam jualan kereta selepas penyambungan semula aktiviti ekonomi, 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan terurai untuk dipasang sepenuhnya (CKD) dan 50 peratus pengecualian cukai jualan pada kereta siap dipasang sepenuhnya (CBU) sehingga akhir Jun.
“Kami menjangkakan pemulihan menggalakkan dalam penjualan kereta, terbukti daripada peningkatan jumlah tempahan yang dicatatkan untuk model popular (sehingga enam bulan) dan beberapa pelancaran model baharu tahun ini, termasuk yang telah tertangguh mulai 2021.
“Selain itu, pelancaran baharu Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dijangka dipacu oleh pengecualian penuh ke atas duti import dan eksais, cukai jualan, cukai jalan dan pelepasan cukai individu untuk menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik tempatan,” katanya.
Menurut MAA, Malaysia merekodkan jualan kenderaan baharu sebanyak 56,213 unit pada April 2022, turun 3.63 peratus daripada 58,329 unit pada April 2021 disebabkan kekurangan cip dan komponen.
Ia berkata TIV untuk April 2022 adalah 23 peratus lebih rendah berbanding Mac 2022, iaitu sebanyak 73,222 unit, sambil menambah kekurangan cip dan komponen serta kelewatan penghantaran, telah menjejaskan beberapa syarikat. – Bernama