HANOI: Seramai 670,000 pekerja di Vietnam hilang pekerjaan dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2020 disebabkan krisis Covid-19, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Berdasarkan data Jabatan Pekerjaan pada hujung April, sekitar 55 peratus pekerja syarikat dan perniagaan perseorangan manakala 46 peratus lagi mereka yang bekerja di syarikat perusahaan dan koperasi terkesan akibat pandemik.
Kesan paling serius berlaku sepanjang April sebanyak 76 peratus pekerja terjejas, meningkat 20 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Sehingga 76 peratus perusahaan terpaksa memberhentikan dan menggantung sementara pekerja kontrak, memecat kakitangan atau bekerja secara bergilir-gilir.
Kira-kira 80,000 lagi buruh diramalkan hilang pekerjaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengangguran kepada 750,000. – Bernama