ANGKAAN JUMLAH EKSPORT TERUS BERI SOKONGAN… Niaga hadapan MSM dijangka meningkat pada pembukaan pasaran hari ini berikutan pengumuman larangan Indonesia terhadap eksport minyak masak mulai 28 April.
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM6,100 dan RM6,500 satu tan pada minggu ini dengan kecenderungan meningkat.
Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, jangkaan jumlah eksport yang tinggi akan terus memberi sokongan kepada komoditi itu.
Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata, niaga hadapan MSM dijangka meningkat pada pembukaan pasaran hari ini berikutan pengumuman larangan Indonesia terhadap eksport minyak masak mulai 28 April.
Menurut laporan berita, Presiden Indonesia Joko Widodo telah melarang eksport minyak masak dan bahan mentahnya mulai 28 April sehingga diberitahu kelak, menyatakan beliau akan terus memantau dan menilai pelaksanaan dasar itu untuk memastikan Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, mempunyai bekalan minyak masak mampu milik yang banyak dalam negara.
Bagi minggu baharu berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya tinggi dalam persekitaran harga minyak kacang soya kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago, harga minyak mentah tinggi dan jangkaan eksport yang kukuh.
Pasaran ditutup esok sempena cuti Nuzul Al-Quran.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, Mei 2022 naik RM179 kepada RM6,871 satu tan, Jun 2022 meningkat RM168 kepada RM6,625 satu tan dan Julai 2022 menambah RM45 kepada RM6,355 satu tan.
Sementara itu, Ogos 2022 merosot RM19 kepada RM6,162 satu tan, September 2022 berkurangan RM22 kepada RM6,045 satu tan dan Oktober 2022 jatuh RM44 kepada RM5,966 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 204,757 lot daripada 271,054 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 203,392 kontrak daripada 231,959 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan meningkat RM80 kepada RM6,900 satu tan.- Bernama