PRIMEIRA LIGA PORTUGAL
PENYANDANG gelaran Portugal, Benfica telah mengesahkan bahawa pemain tengah David Tavares diuji positif Covid-19 pada hari Jumaat, menjadikan jumlah kes positif kepada sekurang-kurangnya lapan pemain dalam Primeira Liga.
Divisyen satu Portugal merancang untuk memulakan semula perlawanan tanpa penonton menjelang akhir bulan ini setelah pemerintah mengumumkan pada 30 April bahawa permainan dapat disambung semula, sementara menunggu persetujuan daripada pihak kesihatan.
Benfica berkata, Tavares, 21, yang bukan pemain utama pasukan pertama, mempunyai gejala dan berada dalam kuarantin. Ujian positifnya muncul setelah Vitoria Guimaraes mengesahkan tiga kes positif pada hari Sabtu dan Moreirense satu lagi.
Menurut agensi berita Portugal, Lusa, tiga pemain Famalicao juga dijangkiti, serta dua anggota kakitangan kelab yang tidak bermain.
Ketika Primeira digantung pada 12 Mac kerana wabak Covid-19, Porto berada di kedudukan teratas dengan satu mata mengatasi Benfica.
Kerajaan Portugal bekata 10 pusingan terakhir musim ini harus dimainkan mengikut protokol perubatan yang ketat. Pemain harus lulus ujian Covid-19 dua kali seminggu dan perlawanan akan dimainkan “dalam sebilangan kecil stadium yang mungkin”. – AFP