SIDANG MEDIA…Dato Sri Fatimah Abdullah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) 1/2022 di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
KUCHING: Tiga lagi tempat selamat atau Tempat Transit Gelandangan (TTG) bakal dibangunkan di Sarawak pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar) memberitahu bahawa, perancangan tiga TTG baru itu adalah susulan kejayaan penubuhan TTG Sibu pada tahun 2021.
Katanya, Mesyuarat Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) mengumumkan akan menubuhkan tiga lagi TTG pada tahun ini iaitu bertempat di Kuching, Bintulu dan Miri.
“TTG Bintulu masih di peringkat pra pelaksanaan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang menelan kos RM2 juta.
“TTG Miri pula adalah di peringkat perancangan di mana tapak projek sudah dikenalpasti dan sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa perancangan negeri, penambahbaikan bangunan bakal dilaksanakan dengan Kerjasama Syarikat Samling melalui program Tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Manakala, TTG Kuching ia juga masih dalam peringkat perancangan awal untuk mencari tapak yang sesuai. Beberapa tapak telah dilawati namun belum mendapat lokasi yang strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) 1/2022 di Wisma Bapa, semalam.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, TTG Bintulu mampu memuatkan 48 hingga 60 orang gelendangan, manakala TTG Miri (35) dan TTG Kuching (31).
Mengulas lanjut, sebanyak 224 operasi menyelamat gelandangan secara bersepadu dan bersasar telah dijalankan di antara 2016 dan 2020.
Hasil operasi tersebut, seramai 513 gelandangan berjaya diselamatkan di Sarawak.
Antara punca yang menyebabkan masalah gelandangan ialah masalah keluarga (38 peratus), kesihatan mental (33 peratus), tiada tempat tinggal (12 peratus), ketagihan minuman keras dan bahan terlarang (10 peratus), dibuang kerja (5 peratus) dan lain-lain (2 peratus),” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO