TAHNIAH JUGA… Royston Valentine kelihatan menyampaikan hadiah Naib Johan kepada PDRM A.
SATU gol dari Azila Zat pada babak pertama sudah cukup untuk menobatkan PSKPP sebagai juara Piala Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah yang berakhir petang Ahad lalu.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM A pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Mukah itu telah menyerlahkan lagi status mereka sebagai antara pasukan elit bola sepak tempatan.
Merupakan pasukan terbaik kejohanan, pasukan dari Pejabat Pendidikan Daerah Mukah ini membawa pulang wang tunai RM1,500, piala KPD Mukah, piala iringan dan medal.
Sementara pasukan tuan rumah (PDRM A) yang juga tewas kepada pasukan yang sama pada perlawanan pembukaan minggu lalu, terpaksa berpuas hati dengan hadiah naib juara RM700, piala dan medal.
Manakala, tempat ketiga Pasukan Medik setelah menewaskan Landas, 3-0, pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan empat, sebelum itu.
Dengan kemenangan itu, pasukan tersebut masing-masing menerima RM500, RM300 dan medal dari kejohanan yang bermula semenjak 19 Mac berkenaan.
Pentandingan yang merupakan salah sebuah liga utama di kawasan ini itu, juga menawarkan anugerah Penjaring Terbanyak yang dimenangi oleh Ahmad Nazim Basiri (Pasukan Medik) dengan enam gol, Pemain terbaik jatuh kepada Rafiq Malik ( PSKPP) dan pasukan Landas (fair play).
Hadiah kepada pemang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tellian, Royston Valentine yang turut mengumumkan geran RM10, 000 kepada Jawatankuasa Penganjur Piala KPD Mukah.
Juga hadir pada perlawanan yang cukup menghiburkan itu ialah Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias, Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Pengerusi Penganjur Kejohanan merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) Asisten Superintenden Polis (ASP) Khairul Annuar Adeni dan ketua-ketua jabatan yang lain.
Kejohanan bersempena dengan Sambutan Hari Polis Ke-215 ini adalah anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah( IPD Mukah) dengan kerjasama Pertubuhan Belia Mukah.
Oleh HENRY B SIYU