NANNING: Kotak hitam kedua pesawat China Eastern Airlines yang terhempas pada Isnin lalu di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China berjaya dijumpai semalam, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan ibu pejabat tindak balas kecemasan negara.
Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming di barat daya China, dalam perjalanan menuju ke Guangzhou, terhempas di kawasan pergunungan daerah Tengxian, Guangxi, pada 2.38 petang Isnin.
Kesemua 132 penumpang dan anak kapal disahkan terkorban.
Kotak hitam pertama, dipercayai perakam suara bahagian kokpit berjaya ditemukan pada Rabu.
Kerja-kerja memuat turun dan menganalisis data dari kotak hitam pertama kini giat dijalankan.
– Bernama