KENANGAN … Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) merakam kenangan bersama-sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah (empat kiri), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huawei Malaysia, Micheal Yuan (empat kanan) dan peserta program ‘Keynote Address for Sarawak Women of Tomorrow Boot Camp’ di Kuching, semalam.
KUCHING: Pendigitalan dalam pelbagai aspek kehidupan kini menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat dan sesebuah negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, era baharu masa kini tidak melihat perbezaan jantina apabila penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital yang dipacu pendigitalan memberi peluang lebih luas dalam pasaran pekerjaan.
“Satu-satunya perbezaan ialah seseorang individu perlu mempunyai penguasaan yang baik dalam bidang teknologi selain mengetahui cara mengaplikasikan digitalisasi dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan ‘Keynote Address for Sarawak Women of Tomorrow Boot Camp’ di sini, semalam.
Sehubungan itu kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak telah menjalinkan kerjasama dengan Huawei Malaysia bagi mewujudkan kesedaran, dan manfaat selain cara penggunaan teknologi digital dalam kehidupan masyarakat.
“Bagi saya, era teknologi pendigitalan masa kini tidak lagi melihat perbezaan jantina kerana menerusi penggunaan telefon pintar tidak mengenali siapa penggunanya sama ada lelaki atau perempuan.
“Pertanian moden juga berasaskan teknologi masa kini, dari segi pengurusan ladang melalui Internet Kebendaaan (IoT). Ini adalah era baharu dalam bidang pertanian,” ujarnya.
Menurut Abang Johari, menerusi penggunaan teknologi ekonomi digital telah banyak mengubah keseluruhan landskap ekonomi di Sarawak sejak dilancarkan pada 2017 lalu.
Malah katanya, aplikasi e-wallet, Sarawak Pay yang kini ditukar nama menjadi S Pay Global juga boleh digunakan di mana-mana sahaja termasuk di luar negara yang menerima transaksi pembayaran UnionPay.
“Urus niaga ini adalah tanpa tunai. Ambil telefon dan anda boleh bayar apa sahaja seperti bill dan sebagainya manakala kemudahan ini turut mendorong perniagaan di Sarawak berkembang seiring perubahan masa dan merupakan asas kepada sektor e-dagang,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA