ANTARA PRODUK TERHASIL DARIPADA BUAH PALA… Pemilik Kilang Pala Ghee Hup, Chang Kun Min, 79, menunjukkan jus buah pala yang dihasilkan di kilangnya di Balik Pulau di George Town.
GEORGE TOWN: Pengusaha perniagaan kecil di Balik Pulau, terutamanya yang terlibat dalam sektor ekopelancongan dan pertanian berharap pembukaan semula sempadan antarabangsa negara pada 1 April akan membantu memulihkan semula perniagaan mereka.
Chang Kun Min, 79, pemilik ladang dan pengeluar buah pala berkata kilangnya, Ghee Hup Nutmeg Factory yang telah beroperasi lebih 40 tahun selalunya menjadi tarikan pelancong sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kami tidak menerima kedatangan pelancong, terutamanya pelancong antarabangsa sejak dua tahun lepas. Sebelum pandemik, kami menutup perniagaan pada 6.00 petang setiap hari tetapi kini memandangkan kami jarang menerima pengunjung, kami terpaksa menutup perniagaan dua jam lebih awal daripada biasa.
“Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa bulan depan, kami berharap keadaan akan bertambah baik. Tapi rasanya kebanyakan orang masih lagi mengambil pendekatan berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Chang berkata, nenek moyangnya berhijrah ke Pulau Pinang pada 1953 dan membuka perniagaan buah pala yang diwarisi keluarganya selama empat generasi.
Menurutnya, beliau mula terlibat dalam perniagaan buah pala semasa berusia 10 tahun dan dengan keazaman serta ketabahannya beliau dapat membuka kilang tersebut bagi membangunkan lagi perniagaan keluarganya.
Buah pala sinonim dengan masyarakat tempatan di Pulau Pinang dan Ghee Hup Nutmeg Factory menghasilkan pelbagai produk buah pala seperti jus buah pala yang dikatakan dapat memberi kelegaaan bagi sakit tekak dan batuk.
Selain itu katanya, kulit buah boleh dikeringkan selama seminggu untuk dijadikan teh manakala minyak biji pala boleh diperoleh selepas mengukus bijinya untuk dijadikan minyak angin dan membran buah pala digunakan secara meluas dalam industri makanan sebagai rempah ratus. – Bernama