MIRI : Buku bertajuk ‘Sarawak Women In Scholarly Writing’ dirasmikan semalam bersempena sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Negeri Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, bahan bacaan tersebut memfokuskan kepada ilmu dan pengalaman wanita di Sarawak.
Menurutnya, pengalaman wanita-wanita hebat tersebut turut dikongsikan dalam satu sesi dikenali sebagai ‘My Research Experience’.
“Buku ini akan disumbangkan kepada setiap perpustkaan dan orang ramai juga boleh mengakses untuk membaca menerusi e-Book,” katanya.
Beliau berkata, sesi perkongsian ‘My Research Experience’ diadakan buat kali kedua selepas kali pertama dilangsungkan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 21 Februari lepas.
Tambahnya, penganjuran sesi tersebut bukan sahaja untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tetapi menggalakkan generasi muda terlibat dengan bidang berkaitan penyelidikan.
“Melalui sesi seperti ini, kita dapat mendengar pengalaman mereka, cabaran dihadapi sebagai seorang penyelidik dan sebagai seorang wanita serta nasihat kepada penyelidik muda supaya seterusnya dapat memberi inspirasi dan motivasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan menampilkan dan mengetengahkan personaliti-personaliti wanita dalam sesi perkongsian itu, ia dapat menambahkan memartabatkan status wanita.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Norita Bawi.
Oleh ADUM LIU