PENDATANG baharu Liga Super 2022, Sarawak United FC (SUFC) bakal mempertaruhkan sandaran tinggi terhadap penyerang sensasi, Uche Agba dan Francis Kone dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC malam ini.
Uche merupakan penjaring terbanyak SUFC dalam saingan Liga Premier musim lepas manakala Kone muncul sebagai mesin gol Negeri Sembilan FC.
Ketajaman ‘bisa’ kedua-dua permata import itu sudah pasti ditagih pada musim ini memandangkan Liga Super menampil perlawanan berintentisi tinggi.
Skuad Kenyalang Emas turut menampilkan beberapa muka baharu seperti Boris Myagui Kok, Gonzalo Manuel Soto selain mengekalkan khidmat pemain tengah dari Korea Selatan Lee Chang Hoon.
Secara keseluruhannya seramai 13 pemain SUFC musim ini terdiri daripada pemain tempatan Sarawak, 12 pemain tempatan import, lima pemain import asing dan dua pemain import berdarah campuran.
Bagi ketua jurulatih SUFC, B. Sathianathan, perlawanan menentang Kedah bukan tugas mudah kena pasukan dari utara tanah air itu merupakan naib juara musim lalu.
Bagaimanapun beliau tetap memberi penuh kepercayaan kepada anak buahnya untuk melakar kejutan, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam ini.
“Saya minta pemain memberikan komitmen 100 peratus menentang siapa sahaja lawan yang ditentang,” katanya.
Menurutnya, tidak banyak perubahan dalam akan berlaku kerana kebanyakan pemain sudah biasa dengan corak taktikal bekas pengendali sebelum ini, E. Elavarasan.
Elavarasan kini dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan.
Sathianathan turut mengharapkan sokongan padu penyokong bagi memberikan tonik tambahan kepada barisan pemain.