TURUN PADANG… Datuk Julaihi Narawi melawat kerja-kerja pemasangan paip projek cadangan Pembekalan Air Kanowit Fasa 2 Bahagian Sibu dari Salim Water Treatment Plant, Sibu Water Board Ke Kanowit, Sibu Bahagian Sibu.
SIBU: Cadangan Pembekalan Air Kanowit Fasa 2 Bahagian Sibu dari Salim Water Treatment Plant, Sibu Water Board Ke Kanowit, Sibu Bahagian Sibu sedang giat dilaksanakan.
Keprihatinan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti & Telekomunikasi (MUT) Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana dalam menyelesaikan isu bekalan air dihadapi oleh penduduk di Daerah Kanowit, kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya, Bahagian Sibu telah dizahirkan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah program Projek Rakyat itu.
Projek ini yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022, projek ini untuk memastikan penduduk-penduduk di Daerah Kanowit, kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya mempunyai bekalan air terawat yang lebih baik sekali gus mengurangkan isu bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos sekitar RM63.5 juta ini adalah di bawah kendalian JBALB Sarawak dengan skop kerja merangkumi pemasangan saluran paip air pelbagai saiz dari Loji Rawatan Air Salim ke kawasan Kanowit.
Ini termasuk penyambungan saluran paip air ke sistem yang sedia ada di kawasan Sibu Jaya, stesen pam penggalak di Durin, dan pembinaan tangki air di Bukong Jagoi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi telah mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut, semalam.
Katanya, perlaksanaan projek ini akan dapat menyelesaikan isu bekalan air yang sedang dihadapi oleh penduduk di kawasan terjejas.
“Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di Daerah Kanowit, kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya,” ujarnya.
Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sibu, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
Turut hadir Pengarah JBALB Sarawak, Ir Chang Kuet Shian.
Oleh AKUN GIMAN