TERIMA KASIH … Professor Dato Dr. Jamil Hamali menyampaikan cenderamata kepada Dr. Roziah Mohd
Janor sambil disaksikan oleh Penolong Rektor UiTM Mukah, Prof. Madya Dr. Saimi Bujang.
MUKAH: Naib Canselor(VC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) meletak impian untuk menjadikan UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah(UiTM Mukah) sebagai pusat penyelidikan termuka.
Profesor Datuk Teknologis (Ts.) Dr. Roziah Mohd Janor menyatakan bahawa pusat pengajian yang berada di luar bandar itu mempunyai banyak persamaan dengan Santa Fe Institute di New Mexico, Amerika Syarikat.
Idea beliau untuk menjadikan UiTM Kampus Mukah sebagai pusat penyelidikan terkemuka adalah rentetan daripada pengalamannya semasa berada di sana (Santa Fe Institute) dahulu.
“Lokasi UiTM Kampus Mukah yang terletak di zon tengah wilayah Sarawak mungkin bagi sesetengah orang agak jauh dan terpencil. Ia boleh menjadi sebagai pusat penyelidikan terkemuka kerana mempunyai banyak persamaan dengan Santa Fe Institute, New Mexico, Amerika Syarikat seperti kedudukannya yang agak terpencil, tetapi telah berjaya menduduki 24 teratas “Badan Pemikir Sains dan Teknologi” di dunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program “Berloyar Dengan VC (Vice Chancellor)” yang dianjurkan sempena lawatan sulungnya ke UiTM Mukah hujung minggu lalu.
Harapan Dr. Roziah iadalah untuk melihat ia sebagai pusat penyelidikan dan kecemerlangan yang bakal menerima kunjungan penyelidik-penyelidik, bukan sahaja dari dalam negara, malah turut membuka peluang kepada koloboratif penyelidikan bersama penyelidik-penyelidik peringkat antarabangsa.
“Antaranya potensi ke arah itu termasuklah dalam bidang industri farmaseutikal berasaskan tumbuhan herba di Sarawak dan juga kajian dan penyelidikan berkaitan komputer yang melibatkan Internet of Things (IoT) serta artificial intelligent (AI) yang boleh digunakan dengan meluasnya dalam sektor pertanian pintar dan yang seumpamanya,” tambah VC lagi.
Dalam sesi tersebut, beliau juga memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada warga UiTM Mukah supaya ia akan lebih menyerlah lagi pada masa akan datang selaras dengan pelan strategik UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025 atau Globally Renowned University 2025 (GRU 2025).
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof. Dato Dr. Jamil Hamali, dalam taklimatnya menyatakan UiTM Mukah menawarkan lima program di peringkat diploma.
“Program tersebut terdiri daripada Diploma Pengurusan Ladang, Diploma Pengeluaran Herba, Diploma Akuakultur, Diploma Pengjian Perniagaan dan Diploma Pengajian Perbankan,” kata beliau.
Di samping program di peringkat diploma, tambahnya, ia juga turut menawarkan program di peringkat pradiploma iaitu PraDiploma Perdagangan dan PraDiploma Sains, PraDiploma Sains (Aliran STEM C & Sastera), PraDiploma Agroteknologi dan satu program baharu iaitu PraDiploma Pengajian Islam.
“Dalam masa yang sama, UiTM Mukah juga turut menjalinkan kerjasama dengan pihak Professional Mutawwif Development International College (PMIDIC) iaitu program Diploma Kemahiran Mutawwif Umrah dan Ziarah.
Dalam sesi taklimat dan pembentangan tersebut juga, Dr. Jamil turut menyentuh tentang 20 Perkara di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya dalam Perkara 15 iaitu melibatkan autonomi dalam pendidikan.
Program yang berlangsung secara santai dan bersahaja berkenaan menyaksikan interaksi pelajar dan staf akademik yang membincangkan beberapa perkara dan perkongsian tentang idea untuk meningkatkan lagi kewujudan atau “visibility” UiTM Kampus Mukah sebagai satu-satunya universiti awam di zon tengah wilayah Sarawak.
Lawatan julung kali VC ke UiTM Mukah ini sungguh bermakna kerana beliau merupakan Naib Canselor wanita pertama yang pernah dilantik menyandang jawatan tersebut sejak 65 tahun institusi ini diwujudkan.
Selepas itu, Dr. Roziah turut berpeluang untuk menanam sepohon anak pokok pain bintang (Araucaria heterophylla) di perkarangan hadapan Dewan Sri Balau, UiTM Kampus Mukah serta melepaskan anak ikan ke dalam kolam di Pusat Akua dan Agrotek.
Majlis berakhir dengan beliau merasmikan pelancaran “Foodbank” UiTM Kampus Mukah serta menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada “Foodbank” UiTM Kampus Mukah kepada pelajar-pelajar UiTM Kampus Mukah yang terpilih.
Beliau juga menyaksikan penyampaian cek sumbangan dana “FoodBank” UiTM Mukah yang telah disampaikan kepada Penolong Rektor UiTM Mukah Prof. Madyra Dr. Saimi Bujang, daripada KP Mukah Development Sdn. Bhd. melalui GFM Services Berhad, berjumlah RM2000 serta daripada Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Sarawak, berjumlah RM1000.
Oleh HENRY B SIYU