PEMANDU Alpine F1, Esteban Ocon dan Fernando Alonso, bergambar semasa pelancaran kereta baharu A522 untuk musim Formula Satu 2022 di Palais de Tokyo di Paris pada 21 Februari 2022, dua hari sebelum sesi litar pertama pramusim tahun ini di Litar de Barcelona-Catalunya. A522 akan dipandu tahun ini oleh Fernando Alonso dan Esteban Ocon, yang akan beraksi bagi musim kedua bersama Alpine. • Foto AFP
JUARA dunia berganda Fernando Alonso semalam berkata Alpine yakin dengan peluang mereka dalam Formula Satu musim ini ketika lebih-lebih lagi dengan penampilan kereta baharu nanti.
Pemandu dari Sepanyol Alonso, 40, menyertai pasukan dari Perancis itu musim lalu dalam kempen sulung apabila mereka menduduki tempat kelima dalam kedudukan pengeluar.
Alonso berada di tempat kesepuluh dalam kedudukan pemandu musim lalu, satu tempat di atas rakan sepasukan dari Perancis, Esteban Ocon, yang memenangi Grand Prix Hungary pada Ogos.
“Ia baik untuk kembali dan saya telah bekerja keras bersedia bagi musim baharu,” kata Alonso.
“Kereta itu kelihatan hebat dengan peraturan baharu yang ditetapkan dan saya sukakan penampilan baharu itu.
“Kami mempunyai enjin baharu dengan pembangunan yang baik untuk kereta generasi baharu ini,” tambahnya.
Formula Satu memperkenalkan pelbagai peraturan baharu tahun akan datang termasuk perubahan saiz tayar dan ujian pramusim dua bahagian.
Minggu ini Alonso dan Ocon mengambil bahagian dalam ujian di Barcelona sebelum sesi selanjutnya di Bahrain antara 10 hingga 12 Mac.
Kempen musim ini bermula pada hujung minggu 20 Mac di Timur Tengah dengan Alpine, sebelum ini Renault, berlumba dengan kereta A522 baharu mereka.
“Kami tidak akan tahu di mana semua orang berdiri sehingga Bahrain, tetapi kami teruja untuk membawa kereta itu bagi latihan pertamanya dalam ujian minggu ini,” kata Alonso.
“Saya harap peraturan baharu itu berjaya dan kami mendapat lebih banyak perlumbaan sengit tahun ini,” kata Alonso. – AFP