RAIKAN BERSAMA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menggaul ‘Yee Sang’ pada Majlis Perpaduan Malam 2022 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri, di sebuah hotel terkemuka di Miri, malam Sabtu lepas.
MIRI : Gelaran ‘Premier’ ganti Ketua Menteri bukan untuk kepentingan dan bermegah diri tetapi bagi mengiktiraf status istimewa Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penukaran gelaran itu bukan untuk dibanggakan tetapi untuk mencerminkan status Sarawak yang berbeza dengan negeri Persekutuan Tanah Melayu yang lain.
“Penukaran gelaran itu bukan untuk saya tetapi untuk Sarawak yang menjadi entiti terpenting dalam pembentukan Malaysia.
“Jika kita lihat pada dokumen MA63, terdapat lima entiti sebagai penandatangan ia melibatkan United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Singapura dan Sarawak yang diwakili Tun Jugah Barieng, Datu Bandar Abang Mustapha dan pasukannya ketika itu termasuklah ayah saya (Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee).
“Kami (kerajaan Gabungan Parti Sarawak) melakukan ini berdasarkan perlembagaan yang termaktub dalam MA63. Perkara ini adalah bukan untuk mengagungkan diri sendiri tetapi untuk menunjukkan bahawa negeri Sarawak adalah berbeza dengan negeri yang lain di Semenanjung Malaysia.Tanpa Sarawak, tiada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perpaduan Malam 2022 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri, di sebuah hotel terkemuka di sini, malam Sabtu.
Pada 15 Februari lalu, Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ telah diluluskan DUN Sarawak.
Gelaran itu akan digunakan selepas ia digazetkan.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyerahkan cek RM500, 000 kepada Persatuan tersebut untuk membantu penganjuran aktiviti mereka.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak,Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii dan Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri, Dato David Goh Kien Ping, Pengerusi Pengelola Majlis, Lee Yen Ling.
Oleh LIONG CHAI LING