TERIMA KASIH… Mohammad Razi Sitam menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta sempena Majlis Penutupan Bengkel Special Olympic Empowerment di sebuah Hotel, di Kuching, semalam.
SUKAN Olimpik Istimewa Sarawak memainkan peranan yang signifikan dalam menggalakkan keterangkuman dalam masyarakat.
Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Kesejahteraan Komuniti) Mohammad Razi Sitam berkata ia melibatkan proses pembahagian yakni proses unik yang berlaku di pertandingan Olimpik Khas.
“Ia memastikan semua atlet diberi peluang yang sama untuk mengambil bahagian, beraksi dan diiktiraf kerana melakukan yang terbaik.
“Peraturan asas adalah untuk memadankan atlet dengan orang lain yang mempunyai jantina yang sama, berada dalam lingkungan umur yang sama dan yang paling penting mempunyai keupayaan untuk bersaing yang setaraf.
“Jenis padanan peringkat pertandingan ini menjadikan acara Olimpik Khas lebih menarik dan bermakna untuk kedua-dua atlet dan penonton dengan memastikan pertandingan adalah adil dan memperkasakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Penutupan Bengkel Special Olympic Empowerment di Lot 10, Butik Hotel, di Kuching, semalam.
Selain itu, Razi berkata tahun ini pelbagai aktiviti telah dirancang yang melibatkan Sukan Olimpik Khas di mana temasya negeri dijadualkan untuk dilaksanakan di Sibu pada bulan Jun tahun ini.
Dalam pada itu, dedahnya lagi Sukan kebangsaan dijadualkan pada 21 Julai 2022 untuk boling dan renang di Selangor dan dari 25 hingga 27 Ogos 2022 untuk sukan bocce, badminton, acara balapan dan padang serta pingpong yang akan diadakan di Melaka manakala Sukan Olimpik Khas peringkat dunia akan diadakan di Berlin, Jerman.
“Ia tidak dinafikan bahawa penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam permainan dan sukan ini memberi inspirasi kepada orang ramai untuk membuka hati mereka kepada dunia yang lebih luas dengan bakat dan potensi yang ada pada setiap manusia.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada golongan OKU untuk menggilap bakat dan potensi mereka serta menambah keyakinan diri mereka dan menjadikan mereka sebagai masyarakat yang berguna yang juga boleh menyumbang.
“Menyertai acara dalam sukan ini juga memberi peluang kepada individu berkeperluan khas untuk menerokai pengalaman baharu dan menyediakan diri mereka untuk acara sukan yang lebih besar seperti Sukan Paralimpik, Piala Borneo, sukan negeri dan antarabangsa,” jelasnya.