TUMPUAN … Ralf Rangnick (kanan) berkata sangat jelas kelab itu perlu mendapatkan penyerang pada musim panas ini.
PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick berkata sangat jelas kelab itu perlu mendapatkan penyerang pada musim panas ini.
Kegagalan jentera serangan United yang gagal memanfaatkan peluang keemasan menjaringkan gol sejak kebelakangan ini adalah faktor utama kepada keputusan seri dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kekalahan pada saingan Piala FA kepada Middlesbrough.
Ketika masa depan Cristiano Ronaldo masih menjadi tanda tanya, sementara Edinson Cavani dijangka tamat kontrak pada musim panas dan Mason Greenwood ketika ini tidak dapat beraksi.
United sangat mengidamkan sentuhan peledak berbisa Norway, Erling Braut Haaland.
“Ini sangat jelas,” kata Rangnick mengenai situasi itu.
“Kontrak Edinson bakal berakhir pada musim panas dan kelab memerlukan khidmat antara penyerang terbaik. Saya fikir semua orang mengetahuinya.”
Penyerang prolifik Borussia Dortmund, Haaland mengenali Rangnick ketika pengendali Jerman itu mengesan bakat pemain berusia 21 tahun itu untuk merealisasikan perpindahan ke Red Bull Salzburg pada 2019.
Seperti yang diperkatakan jika United membawa Mauricio Pochettino kembali ke England untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada musim panas, bekas bos Tottenham berkenaan dilaporkan berhasrat kembali bergandingan bersama Harry Kane.
Bintang Inter Milan, Lautaro Martinez; penyerang Sweden, Alexander Isak – yang dikait rapat dengan Arsenal – adalah antara penyerang berpotensi sebagai pilihan ketika Rangnick turut berminat mendapatkan penyerang Republik Czech, Patrik Schick.
Bagaimanapun, pelantikan pengganti Solskjaer akan menjadi keutamaan buat United pada penghujung musim ini sementara tumpuan kelab Old Trafford itu beralih kepada membawa masuk pemain tengah.
Namun Rangnick merasakan masalah di bahagian penyerang juga perlu diberi keutamaan. – AFP