Zinedine Zidane terpegun melihat fizikal Eden Hazard ketika bintang Real Madrid itu kembali menyambung latihan.
Pemain Belgium itu masih belum menyerlah bersama Los Blancos sejak perpindahan bernilai £88 juta pound (RM473.15 juta) dari Chelsea hampir setahun lalu.
Dia tiba di kelab berkenaan sambil mengakui berat badannya bertambah sebelum semuanya hilang dalam tempoh 10 hari.
Bagaimanapun Hazard bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki yang memerlukan pembedahan pada Mac dan pandemik COVID-19 menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu diberikan peluang untuk mendapatkan kembali kecergasannya.
Ketika perintah berkurung, dia berkata kepada RTBF: “Ia rumit buat saya. Saya cuba tidak makan banyak.
“Saya cuba tidak ke dapur untuk kurangkan makan roti, tapi ia bukan mudah.”
Menurut laporan AS, Zidane kagum dengan berat badan Hazard ketika dia tiba di pusat latihan kelab selepas perintah berkurung dilonggarkan.
La Liga mahu pemain berlatih sekurang-kurangnya sebulan sebelum menyambung perlawanan untuk mengelak isu kecergasan dan kecederaan.
Rakan sepasukan Hazard, Thibaut Courtois berkata penangguhan itu banyak membantu rakan senegaranya itu kembali mendapatkan kecergasan terbaik. –AFP