KUCHING: Lampu isyarat pintar akan dipasang di Sarawak untuk meningkatkan aliran kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, ia perlu memandangkan bilangan kenderaan di negeri ini meningkat sebanyak 33.7 peratus daripada 1.27 juta pada 2010 kepada 1.93 juta pada 2020.
“Perancangan kita adalah untuk menaik taraf semua lampu isyarat di Sarawak menjadi lampu isyarat pintar, yang akan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengawal aliran trafik.
“Ini membolehkan lampu isyarat kekal hijau untuk masa yang lebih lama untuk lorong dengan lebih banyak kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri sempena Tahun Baharu Cina akan datang di Jalan Tun Jugah di sini, semalam.
Lee berkata, motosikal merangkumi 45.5 peratus daripada jumlah pemilikan pengangkutan motor Sarawak, terdiri daripada 875,169 pada 2020, manakala kereta persendirian berjumlah 853,405 atau 44.3 peratus.
Jelasnya, jumlah kenderaan di jalan raya dijangka meningkat kerana banyak sektor ekonomi telah dibuka semula pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
Lee dalam pada itu menggesa pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan berwaspada bagi mengelak kemalangan, terutama ketika melakukan perjalanan jarak jauh untuk pulang ke kampung masing-masing sempena Tahun Baharu Cina.
Tambah beliau, faktor manusia seperti kecuaian menjadi punca utama kemalangan di negeri ini.
“Lain-lain termasuk keletihan semasa memandu, tidak mematuhi had laju dan mengekori,” katanya.
Untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, Lee berkata, kementerian akan memperkenalkan Program Perubahan Tingkah Laku Kesedaran Pengangkutan (ABC) yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Program itu akan mendidik pengguna jalan raya tentang kesedaran dan keselamatan dalam pemanduan,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai kesesakan Jalan Expressway Kuching-Samarahan beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan.
“Setakat ini, saya belum menerima laporan dan nanti saya akan mendapatkan laporan berhubung status pembinaan Projek Naik Taraf Lima Bulatan di sepanjang jalan terbabit,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO