SKUAD Sarawak United FC kini hampir pasti menandatangani penyerang import baharu daripada Ivory Coast, Francis Kone untuk digandingkan dengan Uche Agba bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Menurut perkongsian daripada sumber terdekat dengan pengurusan pasukan tersebut semalam berkata, Kone yang merupakan penyerang utama Negeri Sembilan FC itu telah berjaya membantu skuad itu menjuarai Liga Premier musim lepas.
Bahkan sumber tersebut memberitahu, Sarawak United kini telah mencapai persetujuan bersama penyerang berusia 32 tahun tersebut untuk beraksi bersama pasukan kendalian E Elavarasan dalam saingan Liga Super musim ini.
“Sarawak United telah pun mencapai persetujuan dengan penyerang terbabit dan beliau akan menyertai pasukan ini untuk digandingkan dengan Uche Agba musim ini.
“Difahamkan Sarawak United mahu menyegerakan urusan pendaftaran pemain import terbabit dalam masa terdekat,” kata sumber terbabit kepada Utusan Sarawak semalam.
Kehadiran Kone pasatinya bakal memberikan impak besar dalam membantu Sarawak United menghadapi Liga Super musim ini, lebih-lebih lagi di bahagian penyudah.
Kone adalah antara empat pemain import Negeri Sembilan FC termasuk Alain Akono, Arthur Cunha dan Bae Beom-Geun yang telah dilepaskan oleh kelab tersebut, Disember lalu.
Kone yang merupakan bekas pemain kebangsaan Togo memiliki ketinggian 1.89 meter memulakan karier seniornya bersama kelab Al-Musannah, Oman pada tahun 2012-2013. Selain itu, dia juga pernah beraksi bersama Kuala Lumpur pada tahun 2020 sebelum diikat Negeri Sembilan musim lepas.
Semalam, Utusan Sarawak turut menyiarkan spekulasi yang bertiup kencang apabila pemain tengah skuad kebangsaan Singapura iaitu Adam Swandi bakal menyertai Sarawak United.
Adam yang berusia 25 tahun merupakan pemain Lion City Sailors, kelab yang menjuarai Liga Premier Singapura 2021, beliau menyertai kelab tersebut dari tahun 2019 hingga 2021 dimana beliau membuat 34 penampilan.
Selain itu, Adam juga pernah beraksi bersama beberapa kelab lain di Singapura seperti Albirex Niigata Singapore FC (2018), Home United (2017) dan Young Lions (2015-2016).
Adam turut mempunyai caps bersama skuad kebangsaan Singapura, yang mana beliau membuat 12 penampilan sejak tahun 2013 lalu.
Oleh ADI SAFARMAN