KUCHING: Program yang akan dilaksanakan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada tahun ini akan berlandaskan agenda untuk mempertingkat dan memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada rakyat Malaysia.
Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, semua aktiviti dan program tersebut adalah merangkumi latihan dan pendidikan, pembangunan dan penyelidikan serta penyebaran maklumat.
“Tahun ini NIOSH akan menggariskan dua teras strategik dalam Pelan Bisnes NIOSH 2022 (NIOSH Business Plan 2022), iaitu menambah baik standard KKP di tempat kerja serta memperkukuhkan kelestarian perniagaan NIOSH.
Selain itu, NIOSH juga akan memperkenal dan mempromosikan produk baharu dan sedia ada selaras dengan inisiatif #Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“#Keluarga Malaysia terdiri daripada tiga tonggak, iaitu inklusiviti (menghormati dan menyayangi ahli keluarga), kebersamaan (persamaan dalam semua perkara) dan kepuasan (bersyukur dan redha),” jelasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap sempena Program Majlis Amanat Bersama Staf NIOSH di Ibu Pejabat NIOSH Bangi yang dijalankan secara bersemuka dan atas talian melibatkan staff di seluruh Negara.
Menjelas lanjut, Wilson berkata aktiviti dan latihan khusus akan dipertingkat dan tumpuan akan diberikan kepada menghasilkan lebih banyak modul latihan.
Tambahnya, latihan adalah komponen utama dalam mewujudkan pekerja yang mempunyai amalan KKP yang baik di tempat kerja.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 22 orang staf mangsa banjir yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Oleh RYNNA SHA’ERRA