TERNAKAN babi yang ditemukan mati secara misteri di Durin dan Bintangor telah menimbulkan keresahan pelbagai pihak termasuk orang ramai, peniaga dan para penternak haiwan tersebut.
Tuai Rumah (TR) John Ujang memberitahu, perkara telah berlaku di kawasan Durin sejak seminggu yang lalu selepas penternak menemui haiwan ternakan mereka mati secara misteri.
“Penduduk di rumah panjang saya (panjang lebih 40 pintu) menternak banyak babi dalam kandang. Bagaimanapun, kini semua haiwan ternakan kami itu telah mati,” jelasnya.
TR John telah melaporkan kejadian itu kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS).
Susulan laporan itu, sepasukan pegawai bersama Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Teo Boon Siew pergi ke Rumah (Rh) John.
Menurut John, walaupun babi ternakan mereka telah mati kesemuanya, ia tidak menjejaskan ternakan ayam.
“Kami tidak membuang bangkai itu (babi) ke dalam sungai kerana kami tahu ia akan menyebabkan penyakit itu merebak,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengesahkan punca kematian besar-besaran babi milik penternak di Durin dan Bintangor minggu depan.
Pengarahnya, Dr. Adrian Susin Ambud berkata, siasatan yang dilakukan mereka mendapati kesemua babi itu mati pada Disember tahun lepas.
“Setakat hari ini, tiada kematian baharu dilaporkan. Selain Durin dan Bintangor, tiada kawasan lain di Sarawak melaporkan kes yang serupa.
“Kita akan sentiasa memantau dengan teliti sebarang kes baharu yang berpotensi dengan menjalankan pengawasan dan pemantauan rapi ke atas semua ladang babi di negeri ini.
“Sejak tahun lepas, tiada laporan kematian tidak normal di ladang babi komersial,” jelasnya.
Menurutnya, jika punca kematian adalah Demam Babi Afrika (ASF), virus itu bukan zoonosis, bermakna ia bukan ancaman kepada kesihatan manusia dan tidak boleh berjangkit daripada babi kepada manusia.
“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa penggunaan daging babi adalah selamat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penternak supaya mengukuhkan biosekuriti ladang mereka dan mengelak memberi babi mereka makan sisa makanan atau sisa yang mengandungi daging.
“Mereka juga harus melaporkan kepada JPVS berhampiran jika terdapat sebarang kes kematian mengejut dalam jumlah besar babi.
Terdahulu, media tempatan melaporkan kematian babi milik penternak di kawasan Durin telah menimbulkan kebimbangan peniaga, penternak dan orang ramai.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Durin, Kaunselor Teo Boon Siew telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan telah menghubungi JPVS untuk mendapatkan bantuan.
“Para penternak babi mesti menanam bangkai babi mereka dengan betul dan tidak membuangnya ke dalam sungai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr. Teo Jo Hun ketika dihubungi semalam menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan daging babi yang didapati tidak sihat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya melaporkan kepada JPVS jika terdapat banyak babi ditemukan mati,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN