SUKAN PARA SUKMA XX JOHOR
KEM badaminton kontinjen Paralimpik Sarawak berasa lega ekoran perubahan tarikh baharu temasya Sukan Para Sukma 2020 XX Johor yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 April 2021.
Anjakan tarikh baharu tersebut sekali gus memberi tempoh masa mencukupi buat pemain bagi menjalani latihan sebagai persiapan.
Jurulatih Badminton Paralimpik Sarawak, Suhaili Laiman memberitahu, anak-anak buahnya mempunyai masa mencukupi untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya dwitahunan negara itu.
“Sedikit kelegaan bagi pemain kerana masih ada masa untuk mereka mempersiapkan diri berlatih dengan perubahan tarikh terbaharu itu.
“Apa pun…mereka perlu memanfaat dengan sebaiknya masa yang ada,” ujarnya.
Menurutnya, tamparan hebat juga tidak terkecuali menanti pemain ketika ini yang masih berlatih secara sendirian di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.
Skuad kali ini masih menyenaraikan sebahagian besar pemain yang merupakan penyumbang pingat buat Sarawak ditemasya dwitahunan Sukan Para Sukma Perak 2018.
Antaranya Nursyazwani Shahrom (perseorangan wanita/SL4 & Bergu Campuran), Nik Ariffin Putit (Bergu Lelaki & Perseorangan Lelaki (SL3) selain Chung Hong Tsin (Perseorangan Lelaki (WH1).
Di samping itu, sembilan lagi terdiri daripada Ashley Irenaeus Jeck (WH2), Hazery Serbini (SL3), Greorgy Anak Kanyan (SL4), Mohd. Aqil Haziq Nong Chee (SL4), Nabilah Ahmat Sharif (SL4), Mohamad Kuswadi Sayip (SU5), Muhammad Adam Harrith Anthony (SU5), Thian Hien Tat (SS6) dan Amin Abdul Rahman (SS6).
Untuk rekod, skuad badminton Paralimpik Sarawak berjaya menyumbang lima pingat pada temasya lalu iaitu dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa.