MIRI: Mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat Hospital Miri (ALPHM) Bil. 1/2022 telah diadakan semalam bagi membentangkan laporan aktiviti dan projek ALPHM sepanjang tahun 2021.
Hospital Miri dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa ALPHM yang menghadiri mesyuarat secara fizikal bersama pihak pengurusan hospital termasuklah pengerusi, timbalan pengerusi, bendahari dan setiausaha. Manakala ALPHM yang lain menyertai mesyuarat tersebut secara virtual.
Menurutnya, antara projek utama yang merupakan inisiatif ALPHM pada tahun lepas adalah pelaksanaan Projek Kamera Litar Tertutup (CCTV).
“Projek itu bertujuan untuk memastikan keselamatan awam secara umum selain keselamatan pesakit serta kakitangan hospital sebagai memenuhi syarat akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
“Peranan ALPHM amat besar walaupun ketika hospital berdepan ujian hebat menentang pandemik, ALPHM terus berada di sisi dan memberi sokongan padu terutamanya dalam menyediakan keperluan-keperluan peralatan perubatan di PKRC di bawah tanggungjawab hospital,” katanya.
Di samping itu, ALPHM juga berjaya melengkapkan sasaran derma sebanyak 10 unit iPAD yang bertujuan digunakan untuk Sistem Maklumat Farmasi (PHIS) dalam pemberian ubat kepada pesakit di wad.
Dalam mesyuarat tersebut, pengurusan Hospital Miri menzahirkan sekalung penghargaan atas daya usaha, komitmen dan sumbangan ALPHM dalam bersama-sama hospital dalam memerangi pandemik dan sentiasa menyalurkan bantuan yang diperlukan dalam melengkapi fasiliti sedia ada.
“Jawatankuasa ALPHM pada masa yang sama berkesempatan untuk mengucapkan setinggitinggi ucapan terima kasih kepada semua penderma yang menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan mahupun material yang membantu Hospital Miri terutamanya dalam pengurusan wabak.
“ALPHM turut berharap agar usaha mereka sentiasa mendapat sokongan yang berterusan daripada masyarakat setempat.
“Sesungguhnya, hospital yang berfungsi menyampaikan perkhidmatan rawatan kepada komuniti ini merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO