Gunung berapi kecil berhampiran ibu negara Filipina meletus

Facebook
WhatsApp
KEPULAN asap kelabu gelap menjulang dari Kawah Utama Gunung Berapi Taal susulan letusan freatomagmatik kecil pada 6.06 petang, Khamis (8 Oktober).Tangkap layar daripada Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina

MANILA, 8 Oktober: Gunung berapi kecil di sebuah tasik di selatan Manila meletus pada petang hari ini menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, lapor Xinhua.

Menurut institut itu, “letusan freatomagmatik kecil” berlaku di Gunung Berapi Taal di wilayah Batangas, lebih 60 kilometer di selatan Manila, pada 6.06 petang waktu tempatan pada hari ini,

Letusan itu berlangsung selama lima minit.

Menurut institut itu, kejadian berkenaan menghasilkan kepulan berwarna kelabu gelap yang naik sehingga 4,000 meter dari atas kawah.

Hujan abu dijangka menjejaskan kawasan berdekatan di bahagian barat daya.

Tahap Amaran 1 kekal berkuat kuasa bagi Gunung Berapi Taal, dengan Tahap 5 merupakan tahap tertinggi dalam skala berkenaan.

Gunung Berapi Taal merupakan antara gunung berapi paling aktif di Filipina.

Letusan pada Januari 2020 menyebabkan hampir 380,000 penduduk kampung dipindahkan serta memusnahkan banyak ladang, rumah dan jalan raya di wilayah berkenaan.

Kepulauan Filipina terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan terdedah kepada gempa bumi serta letusan gunung berapi.- Bernama-Xinhua