59 warga Indonesia dipindahkan melalui ICQS Tebedu

Facebook
WhatsApp
PEMINDAHAN…Sebahagian daripada 59 warga Indonesia yang dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja ke ICQS Tebedu bagi proses penghantaran pulang ke negara asal, hari ini. Foto JIM Sarawak

SERIAN, 8 Oktober: Seramai 59 warga Indonesia dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja, di sini, ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu hari ini bagi proses penghantaran pulang ke negara asal.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pemindahan itu melibatkan 34 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

KAWALAN…Pegawai Imigresen mengiringi sekumpulan warga Indonesia dalam operasi pemindahan ke ICQS Tebedu, hari ini. Foto JIM Sarawak

Menurut kenyataan itu, kesemua individu berkenaan yang dikategorikan sebagai Orang Yang Dipindahkan (OYD) diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) bagi urusan penghantaran pulang.

Operasi pemindahan tersebut dilaksanakan melalui jalan darat dengan kawalan keselamatan oleh enam pegawai pengiring.

Langkah itu bertujuan memastikan perjalanan dari Depot Imigresen Semuja ke ICQS Tebedu berlangsung secara teratur, selamat dan terkawal.

DIIRINGI…Pegawai Imigresen mengiringi wanita dan kanak-kanak warga Indonesia bagi proses penghantaran pulang ke negara asal melalui ICQS Tebedu, hari ini. Foto JIM Sarawak

Sepanjang operasi berkenaan, tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan dan keseluruhan proses pemindahan berjalan lancar.

Setibanya di ICQS Tebedu, kesemua warga Indonesia terbabit diserahkan kepada pihak berkaitan bagi meneruskan proses penghantaran pulang mengikut prosedur serta peraturan yang berkuat kuasa.

JIM Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan OYD dilaksanakan secara sistematik dan berintegriti, selain mengutamakan aspek keselamatan serta kelancaran kawalan sempadan negara.