REAL Madrid ‘masih bercuti’ dalam kekalahan mengejut 1-0 mereka kepada Getafe semasa perlawanan La Liga Sepanyol semalam.
Kekalahan mengejut Madrid adalah yang pertama dalam tempoh tiga bulan dan memberi harapan baharu kepada kumpulan pengejar dalam liga Sepanyol, selepas kesilapan awal Eder Militao membolehkan Enes Unal menjaringkan gol kemenangan di Coliseum Alfonso Perez.
“Kami bercuti untuk satu hari tambahan,” kata Ancelotti selepas itu.
“Pasukan itu bukan pasukan yang sama yang bermain sebelum Krismas, kurang komitmen, kurang tumpuan.
“Kami tidak layak kalah tetapi kami berakhir dengan kekalahan yang boleh menjadi kejutan untuk menyedarkan kami.”
Madrid telah menguasai perebutan kejuaraan Sepanyol selepas prestasi cemerlang termasuk 10 kemenangan berturut-turut dan 15 perlawanan tanpa kekalahan, kekalahan terakhir mereka di Espanyol pada 4 Oktober.
Tetapi skuad Ancelotti mengalami masalah dalam perlawanan pertama mereka pada tahun 2022 dan, selain daripada tempoh yang singkat pada separuh masa pertama, bergelut untuk mengancam gawang Getafe.
Eden Hazard masuk pada separuh masa tetapi sekali lagi gagal menyemarakkan pasukannya manakala Karim Benzema mendiamkan diri di hadapan.
Madrid pastinya merindui ketiadaan Vinicius Junior, yang tidak hadir selepas disahkan positif Covid-19.
“Untuk mengatakan kami masih bercuti bukanlah satu kritikan, ia adalah perkara yang sama yang saya katakan kepada pemain.
“Kami bertanggungjawab, kerana jurulatih mungkin masih bercuti juga. Kami masih teratas, jadi kami melihat kehadapan,” kata Ancelotti.
Getafe tewas lapan perlawanan berturut-turut mereka pada awal musim tetapi bangkit selepas peningkatan prestasi di bawah Quique Sanchez Flores, kini telah mengharungi lima perlawanan tanpa kalah, termasuk kemenangan berturut-turut ke atas Cadiz dan Osasuna. – AFP