EDEN Hazard beraksi buat kali pertama sejak September lalu namun pendahulu Liga, Real Madrid gagal merangkul kemenangan ke-11 berturut-turut apabila terikat tanpa jaringan dengan Cadiz.
Beberapa ujian positif Covid mendorong jurulatih Carlo Ancelotti untuk memasukkan Hazard lebih awal namun pasukannya gagal mencari jalan merobek gawang Cadiz di Santiago Bernabeu.
“Kami kurang kualiti pada suku ketiga perlawanan namun kami bermain dengan baik, cuma tiada ruang. Ini adalah permainan yang paling sukar kami hadapi,” kata Ancelotti.
Keputusan itu mengurangkan mata Madrid di puncak La Liga dari lapan mata kepada enam selepas pasukan di tempat kedua Sevilla mencatatkan kemenangan ke atas Atletico Madrid, Sabtu lalu.
Kali terakhir Hazard membuat penampilan bersama Madrid adalah ketika kekalahan memalukan di Liga Juara-Juara kepada Sheriff Tiraspol pada 21 September dengan pemain Belgium itu sekali lagi berdepan kecederaan dan kurang cergas.
Namun tahap prestasi juga menjadi faktor utama selepas Ancelotti dengan jelas menyatakan beliau ‘lebih suka pemain lain’ sambil mengakui Hazard perlu menunjukkan kesabaran dan ketangkasan untuk mendapatkan tempatnya semula.
“Ia mengambil sedikit masa untuk serasi dengan permainan, dia melakukan dengan lebih baik pada separuh masa kedua.
“Dia tidak begitu biasa bermain di bahagian sayap di sebelah kanan tapi dia bergandingan dengan baik bersama Karim (Benzema). Hazard boleh menjadi satu lagi senjata untuk separuh kedua musim ini.” – AFP