GEDONG: Kemenangan pertama Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dapat dikecapi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin ia akan membawa kepada kemenangan gabungan itu di kerusi-kerusi DUN lain.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada bekas penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais kerana setia bersama beliau.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Naroden (Datuk Mohd Naroden Majais) tetapi Naroden satu bagusnya, dia ada pantun (ketika berucap). Mesti pantunnya anak berkonang-konang. Saya ubah sikit lah daripada Naroden.
“Anak bekut terkonang-konang, nikik (naik) basikal pergi kampung, 18 hari bulan (Disember) kita menang, mula dari Gedong.
“Jadi saya ucap terima kasih kepada semua, pada 18 (Disember) kita keluar, ikut prosedur operasi standard (SOP) dan beri kemenangan kepada Gedong ini.
“Jadi Gedong menang, tempat lain pun menang dan kita akan meneruskan usaha yang dirancang di situ,” katanya.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tinjauan Mesra di Kampung Semalatong, di sini semalam.
Oleh JEAKQLEYN YACHO