REGU Mukah Majors A (Mypham 25) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul johan dalam saingan juara antara juara Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 yang berakhir, baru-baru ini.
Wakil dari Zon Mukah itu menumpaskan regu pilihan utama, Kuching Night A (Sanjung Etika) dengan kemenangan 2-0 (21-16, 21-14) pada aksi final yang penuh mendebarkan yang berlangsung di Gelanggang Pelbagai Guna Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Petra Jaya.
Justeru, dengan kemenangan tersebut membolehkan Mukah Majors A telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, piala pusingan, piala iringgan beserta pingat, manakala regu Kuching Night A yang muncul naib juara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala dan pingat.
Sementara itu, regu Kuching Night B (Mypham 25) dan Sibu Titan B (Lubok Labang) yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, empat regu yang tersingkir di peringkat suku akhir Miri Sea Horse A, Miri Sea Horse B, Sri Aman Gators A dan Sibu Titan A turut menerima wang tunai RM500.
Terdahulu, anugerah pemain terbaik KSL 2021 telah didominasi oleh ketiga-tiga pemain Mukah Majors A iaitu anugerah pemain tekong terbaik (Lucas Nyaing), pemain apit kiri terbaik (Mohd Sharudin Murad) dan pemain apit kanan terbaik (Azman Wajuli).
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof. Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Dato Ismail Abang Saufi.
Oleh ADI SAFARMAN