GEDONG: Lima daerah baharu diwujudkan oleh Kerajaan Sarawak dalam usahanya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lima daerah tersebut adalah Siburan di bahagian Serian, Gedong dan Sebuyau di Samarahan serta Lingga dan Pantu di Sri Aman.
Katanya, penubuhan lima daerah baharu itu direalisasikan melalui hasil kajian yang terperinci dibuat oleh Kerajaan Sarawak.
“Bagi memantapkan lagi perkhidmatan kepada rakyat, kerajaan negeri melaksanakan kajian mengenai kebolehpelaksanaan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Maka lima pusat yang baharu diwujudkan iaitu lima daerah dan satu daerah kecil meliputi bahagian Samarahan, Serian dan Sri Aman.
“Daerah-daerah baharu ini ialah Daerah Siburan di bahagian Serian, Daerah Gedong di bahagian Samarahan, Daerah Sebuyau juga di Bahagian Samarahan Daerah Lingga dan Pantu di bahagian Sri Aman. Inilah daerah yang baharu dan satu daerah kecil iaitu di Balai Ringin di bahagian Sri Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Gedong sebagai Daerah Baharu di Dewan Masyarakat Gedong, semalam.
Mengulas lanjut mengenai Gedong yang dinaik taraf sebagai daerah, Abang Johari berkata, daerah baharu itu akan mempunyai infrastruktur serta pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.
Katanya, ini akan membolehkan Kerajaan Sarawak mengatur pembangunan masa depan kerana ia akan berdekatan dengan Samarahan di mana terdapatnya institut pengajian tinggi.
“Gedong juga akan mempunyai satu pendekatan pembangunan melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) yang akan menjadi satu agensi dalam merancang dan seterusnya membangunkan daerah di Samarahan termasuk di Gedong.
“Dengan adanya jalan perhubungan ia akan merapakan Gedong dan Samarahan seterusnya ke Kuching, maka Gedong bakal menjadi kawasan pinggiran bandar yang secara tidak langsung akan meningkatkan taraf hidup penduduknya sekali gus menjadi bandar satelit yang memiliki rangkaian sistem jalan raya yang menghubungkan Samarahan dan Kuching,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Muda Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan, Mohd Naroden Majais, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion, calon DUN Simunjan, Awla Dris dan calon DUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo.
Oleh JEAKQLEYN YACHO