MARUDI: Pertembungan lima penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N76 Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini mula menyaksikan kemeriahan suasana berkempen parti-parti yang bertanding.
Walaupun PRN Sarawak kali ini penuh dengan halangan Prosedur Operasi Standard (SOP) akibat wabak Covid-19, namun perang bendera antara parti bertanding tetap meriah.
Tinjauan Utusan Sarawak semalam mendapati di beberapa kawasan Pekan Marudi yang menjadi lokasi pertembungan dua tokoh politik di Marudi iaitu penyandang kerusi N76 Marudi Datu Penguang Manggil dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran dari Parti Sarawak Bersatu ( PSB) mendapati penyokong masing-masing sudah memulakan kerja-kerja pemasangan bendera di kawasan berkenaan.
Kerja memacak panji-panji parti dimulakan pada Isnin sebaik proses penamaan calon disempurnakan sebagai simbolik bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari sempena PRN.
Perang bendera dan poster calon yang bertanding semakin panas dan menurut jentera pilihan raya parti yang memihak kepada GPS, Man Galau, sebelum penamaan calon lagi, mereka sudah mula menyiapkan bahan-bahan kempen dan memasangnya sebaik proses penamaan calon selesai.
Katanya, walaupun berhadapan dengan SOP ketat, kemeriahnya tetap dirasai.
Kawasan DUN N76 Marudi menyaksikan pertembungan lima penjuru antara GPS, PSB, PBK, PKR dan PBDS Baru.