KABONG: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong perlu terus memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.
Calon bagi kerusi DUN Kabong, Mohd Chee Kadir berharap rakyat akan terus memberi sokongan, mandat dan kepercayaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kekal mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.
Katanya, usaha ini amat penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan di negeri ini.
Tegasnya lagi, hanya wakil rakyat yang lahir daripada parti politik tempatan yang mampu memahami dengan jelas cara untuk mentadbir dan meneruskan aspirasi yang dituntut rakyat Sarawak dari berbilang bangsa.
“Kalau kita lihat kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau seorang pemimpin yang luar biasa dan berjaya meneruskan pelbagai bentuk perancangan serta pembangunan luar bandar di negeri ini yang pernah dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dengan lebih strategik.
“Beberapa peruntukan yang disediakan untuk pembinaan beberapa jambatan di Sarawak yang dibatalkan berjaya diambil alih Kerajaan Negeri dengan sumber kewangan kendiri dalam masa yang sama meneruskan pembangunan prasarana untuk menghubungkan masyarakat di pedalaman,” katanya, kepada Utusan Sarawak semalam.
Tambah Chee Kadir, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS terus menerus melaksanakan pembangunan yang lebih holistik dan inklusif kepada setiap penduduk di Sarawak termasuk di kawasan pedalaman.
Projek-projek infrastruktur yang sedang dan akan dibangunkan di seluruh negeri itu jelasnya diperincikan mengikut keperluan dan struktur demografi penduduk yang pelbagai terutama melibatkan projek bekalan air luar bandar, jalan perhubungan, dan pelaksanaan ekonomi digital.
“Dengan peruntukan kewangan yang mencukupi daripada Kerajaan Negeri dan sokongan yang diterima daripada Kerajaan Pusat, inisiatif untuk membekalkan air bersih ke seluruh negeri melalui grid sambungan air akan terlaksana menjelang 2030 khususnya bagi bersedia dengan musim kemarau,” ujarnya lanjut.
Sehubungan dengan itu Chee Kadir menyeru penduduk di sekitar DUN Kabong agar membuat pilihan bijak pada hari pengundian 18 Disember dengan memberi kemenangan kepada calon GPS yang bertanding.
Beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN N40 Kabong sekali lagi diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada kali ini dan bakal ditentang oleh tiga calon iaitu daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), Hud Andri Zulkarnaen, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Mohd Asri Kassim dan Wan Mohd. Madehi Wan Ali dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).