KANOWIT: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Snowdan Lawan mengingatkan para pengundi di Ngemah agar memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Anyi Jana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ini dan jangan membiarkan ‘pisang berbuah dua kali’ di situ.
Katanya, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah harus belajar daripada kesilapan masa lalu dengan tidak memberikan undi kepada pembangkang.
Snowdan merujuk kepada apa yang berlaku di Ngemah selepas rakyat di kawasan itu memilih pembangkang pada pilihan raya tahun 2006.
“Ngemah tidak akan mendapat RM5 juta dalam Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM2 juta dalam dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) setahun bagi melaksanakan pembangunan untuk rakyat, sekiranya kawasan ini tidak mempunyai perwakilan dalam Kerajaan Negeri,” jelasnya ketika berkempen untuk Anyi di Rumah Andrew Balun, Nanga Ngungun, Rabu lalu.
Menurutnya, Anyi akan menjadi jambatan penghubung antara rakyat DUN Ngemah dan kerajaan sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat.
“Di bawah politik pembangunan GPS, Ngemah boleh terus menikmati lebih banyak lagi pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat jika mereka mempunyai ‘jambatan’ yang kukuh.
“Jadi jangan biarkan jambatan runtuh dan jangan tersalah pilih pada hari pengundian nanti. Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa pengundi Ngemah boleh membezakan antara berlian dan kaca,” ujarnya.
Calon muka baharu GPS, Anyi Jana akan dicabar oleh Dr Joseph Jawa Kendawang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Satu Anchom dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Leo Bunsu dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Charlie Genam dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pada PRN Sarawak Ke-12 ini, ADUN Ngemah dua penggal, Alexander Vincent tidak dicalonkan semula oleh PRS bagi mempertahankan kerusi tersebut.