DHAKA: Bangladesh menjatuhkan hukuman mati kepada 20 pelajar universiti kerana pembunuhan kejam 2019 seorang pemuda yang mengkritik kerajaan di media sosial semalam.
Mayat Abrar Fahad, 21, yang dipukul ditemui di asrama universitinya beberapa jam selepas dia menulis catatan Facebook yang menyelar Perdana Menteri Sheikh Hasina kerana menandatangani perjanjian perkongsian air dengan India.
Fahad dipukul dengan kayu kriket dan objek tumpul lain selama enam jam oleh 25 rakan pelajar yang merupakan ahli sayap pelajar Liga Awami yang memerintah, Liga Chhatra Bangladesh (BCL).
“Saya gembira dengan keputusan itu. Saya harap hukuman akan dilaksanakan segera,” kata bapa Fahad, Barkat Ullah kepada pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu.
Pendakwaraya Abdullah Abu memberitahu AFP bahawa baki lima pelaku dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Kesemua mereka yang dijatuhkan hukuman mati berusia antara 20 dan 22 tahun dan melanjutkan pelajaran di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh elit bersama Fahad.
Tiga daripada defendan masih bebas, manakala selebihnya berada di dalam bilik mahkamah.
Seorang peguam bagi defendan berkata, hukuman itu akan dirayu.
Terdahulu, Fahad telah meletakkan satu catatan di Facebook yang menjadi tular beberapa jam sebelum kematiannya.
Beliau mengkritik kerajaan kerana menandatangani perjanjian yang membenarkan India mengambil air dari sungai yang terletak di sempadan yang dikongsi kedua-dua negara.
Fahad telah dilihat dalam rakaman kamera tertutup (CCTV) telah bocor dan menjadi tular di media sosial berjalan masuk ke asrama bersama beberapa aktivis BCL.
Kira-kira enam jam kemudian, mayatnya dibawa keluar oleh pelajar dan dibaringkan di atas tanah.
BCL telah menjadi terkenal sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas beberapa ahlinya dituduh membunuh, keganasan dan peras ugut.
Pada 2018, ahlinya didakwa menggunakan keganasan untuk menyekat protes besar pelajar antikerajaan.
Protes itu dicetuskan oleh kemarahan terhadap keselamatan jalan raya selepas seorang pelajar maut dilanggar bas yang dipandu laju.
Hukuman mati adalah perkara biasa di Bangladesh dengan ratusan orang dihukum mati. Semua hukuman mati adalah dengan cara gantung, warisan zaman penjajahan British. -AFP