KABONG, 15 November: Usaha merealisasikan pembinaan Masjid Baharu Ar-Rahman Sessang terus menunjukkan perkembangan positif apabila kerja-kerja pengukuran tapak seluas 1.6 hektar dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong.
Seramai tujuh kakitangan jabatan berkenaan hadir ke lokasi cadangan pembinaan masjid bagi menjalankan proses pengukuran tanah sebagai salah satu langkah awal dalam penyediaan tapak projek berkenaan.
Menurut kenyataan Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang memaklumkan, proses pengukuran itu merupakan langkah penting dalam memastikan urusan berkaitan tanah dan penyediaan tapak dapat dilaksanakan dengan teratur bagi membuka laluan kepada fasa seterusnya pembinaan masjid berkenaan.
“Pembinaan Masjid Baharu Ar-Rahman Sessang amat dinantikan masyarakat setempat yang mengharapkan sebuah rumah ibadat lebih selesa, selamat dan mampu menampung keperluan jemaah,” katanya.
Selain menjadi tempat menunaikan solat, masjid baharu itu juga diharapkan dapat berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, aktiviti keagamaan serta program kemasyarakatan bagi penduduk Islam di Sessang dan kawasan sekitarnya.
Kerjasama antara Jabatan Tanah dan Survei, waris pemilik tanah, jawatankuasa pembinaan serta pihak berkaitan memperlihatkan usaha bersama dalam menjayakan hasrat masyarakat untuk memiliki masjid baharu.
“Diharapkan segala urusan berkaitan projek berkenaan dipermudahkan dan berjalan lancar sehingga Masjid Baharu Ar-Rahman Sessang dapat direalisasikan demi manfaat generasi kini dan akan datang,” tambah Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang.
Turut hadir menyaksikan proses pengukuran tersebut ialah Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Ar-Rahman Sessang, Mohd Bakri Mohd Yusoff.
Hadir sama ialah waris pemilik tanah serta ahli-ahli jawatankuasa pembinaan masjid yang mengikuti perkembangan kerja-kerja berkenaan.
Oleh Adi Safarman




