JIKA melihat kedudukannya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin mungkin antara kawasan yang akan pesat membangun pada masa akan datang.
Hal ini disebabkan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) beberapa tahun lagi. Beberapa kawasan di DUN Balai Ringin khasnya, Pekan Balai Ringin itu sendiri yang terletak di tepi jalan LPB, menyenangkan usaha membangunkannya.
Apatah lagi, kerajaan dalam pertimbangan dan mengkaji perancangan untuk membangunkan Pekan Balai Ringin yang akan mengubah landskap pembangunan daerah kecil itu.
Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Datuk Openg pada satu majlis di Balai Ringin sebelum ini memberitahu, perancangan holistik diperlukan sebelum mengambil langkah seterusnya bagi membangunkan Balai Ringin, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Kita akan melihat dan membuat pertimbangan untuk menaik taraf Pekan Balai Ringin.
“Saya juga meminta Jabatan Tanah dah Survei untuk membuat perancangan dan melihat butiran daripada permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan.”
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stadium Mini Balai Ringin sebelum ini. Ketua Menteri juga menambah, kerajaan negeri juga akan memastikan seluruh Balai Ringin mendapat kemudahan bekalan air menjelang tahun 2024.
“Sebelum kita membangunkan Pekan Balai Ringin, kita akan memastikan seluruh kawasan ini dilengkapi kemudahan, terutamanya bekalan air pada tahun 2024.”
Sementara itu, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan Stadium Mini Balai Ringin.
Menyifatkan stadium mini itu sebagai mercu tanda baharu daerah kecil Balai Ringin, beliau berkata, peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada peruntukan sebanyak RM10 juta sebelum ini.
Pada hakikatnya, banyak pembangunan telah dilaksanakan di Balai Ringin, termasuk pembangunan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan sebagainya.