JURGEN Klopp berkata Divock Origi layak disambar oleh pengurus yang ingin kerap menurunkannya selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu Liverpool mencatat kemenangan 1-0 ke atas Wolves.
Pemain antarabangsa Belgium itu yang sering dicemuh menjaringkan beberapa gol ikonik sepanjang tujuh tahun sejak menyertai The Reds namun tidak pernah mendapat tempat dalam kesebelasan utama secara tetap.
Klopp sebenarnya agak terkejut pada awal musim kerana tidak ada pasukan yang mahukan Origi dalam pasaran perpindahan.
Bagaimanapun, dia membuktikan kemampuannya berada dalam skuad berkenaan selepas masuk sebagai pemain gantian untuk menamatkan rekod cemerlang Wolves di Molineux selepas trio prolifik mereka Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota gagal menyerlah.
“Divock Origi adalah legenda, menamatkannya dengan kemenangan dan ia satu lagi catatan hebat. Dia seorang penyerang yang luar biasa, cuma dia jarang diturunkan namun saya berharap satu hari nanti dia menjumpai pengurus yang sering menggunakannya secara kerap.
“Dia adalah seorang pemain yang mempunyai penyudah terbaik pernah saya lihat sepanjang hidup saya. Dalam pasukan yang hebat ini, dengan memiliki tiga penyerang lain, dia tidak dapat beraksi sepanjang masa namun dia seorang pemain yang positif.
“Dia sangat sayangkan kelab ini dan mahu memberi sumbangan, akhirnya dia membuktikan dengan cara yang luar biasa,” kata Klopp.
Origi meledakkan rembatan rendah selepas menerima hantaran daripada Salah untuk membolehkan Liverpool mengatasi Chelsea dengan kelebihan satu mata. – AFP