DATUK Posa Majais kekal menerajui Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2021-2024 pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan persatuan berkenaan, di Mukah semalam.
Posa mengekalkan jawatan tertinggi persatuan itu setelah mendapat pencalonan daripada semua persatuan bola sepak bahagian negeri ini.
Beliau merupakan calon tunggal menyandang jawatan itu buat kali ketiga selepas menjawat jawatan tersebut melalui lantikan Exco pada Januari 2017.
Sementara itu, Saif Jubaidi turut mengekalkan jawatan beliau selepas beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS bagi penggal kedua.
Bagi jawatan Naib Presiden, seramai 12 pencalonan telah diterima bagi mengisi lima kekosongan jawatan tersebut.
Hasil undian Naib Presiden FAS disandang oleh Philip Jabu (Serian FA), Nicol Agoi (Kapit FA), Royston Valentine (Mukah FA), Awang Madihi Awang Yatem (Bintulu FA) dan Razak @ Abdul Razak Salleh (Samarahan FA).
Dalam pada itu, Posa dalam ucapan alu-aluannya berharap agar barisan kepimpinan persatuan yang telah dipilih tersebut dapat bersama-sama membangunkan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak di Sarawak.
Katanya tugas yang dipikulnya adalah tanggungjawab besar dan berjanji akan berusaha memastikan FAS terus maju dalam persaingan bola sepak tanah air.
“Tugas ini sememangnya berat tetapi saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan penuh komitmen bagi memastikan FAS terus berfungsi malah mampu menangani sebarang masalah.
“Walaupun perlu berdepan pelbagai cabaran, fokus utama ialah memantapkan skuad Sarawak United FC yang bertanding dalam Liga Super musim depan,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Sarawak United dan turut dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Antara kejayaan beliau ialah mengemudi Sarawak United FC muncul sebagai naib juara Liga Premier 2021 dan berjaya mara ke pentas Liga Super 2022.
Pada majlis itu juga, Posa turut mengumumkan Setiausaha Agung FAS baharu ialah Paza Dan serta pengerusi baharu Sarawak United FC, Saif Bujang.