PENGANJURAN Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) anjuran Persatuan Sepak Takraw (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dilihat dapat mengenal pasti pemain berbakat di negeri ini khususnya dari bahagian Samarahan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata penganjuran kejohanan itu sekali gus dapat membentuk pasukan takraw Sarawak yang lebih mantap seterusnya diketengahkan di pentas sukan kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya melihat potensi permainan tradisi ini amat besar, malah ramai belia tempatan kita berjaya mencipta nama dalam arena sukan ini termasuk sukan sepak takraw.
“Maka, kita mahu bakat-bakat dan potensi dimiliki kalangan belia di Samarahan dapat ditonjolkan dalam landasan sedia ada supaya kebolehan dimiliki mereka dapat dimanfaatkan dalam lapangan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rasmi KSL 2021 Zon Samarahan di Arena Tun Tunku Haji Bujang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan dekat sini kelmarin.
Mengulas lanjut mengenai acara tersebut, Rubiah mengucapkan syabas dan tahniah kepada PSS, SSC serta Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan atas komitmen mereka mengelolakan kejohanan serta aktiviti berkaitan pembangunan sukan tradisional.
Beliau percaya dengan kemampuan PSS dan SSC menganjurkan kejohanan sebegini mampu meningkatkan potensi belia-belia sekali gus melahirkan pemain-pemain pelapis sukan sepak takraw pada masa akan datang.
Sementara itu, pada aksi final tersebut regu KS Blusters muncul sebagai juara KSL 2021 Zon Samarahan selepas menumpaskan regu Gedong A, 2-0 dengan kiraan mata 21-14 dan 21-8.
KS Blusters membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan pingat manakala Gedong A memerima wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat.
Dalam pada itu, regu Kajas dan D8 Dominators yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Kedua-dua regu (juara dan naib juara) akan mewakili Zon Samarahan ke peringkat ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung di Kuching pada 10 hingga 12 Disember nanti.
Hadir sama Pengarah Pusat Sukan Unimas, Prof madya Dr Hasnizam Abdul Wahid, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi, Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA), Mohd Nizam Wang.
Oleh ADI SAFARMAN