KUCHING, 29 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyangkal kenyataan Tay Wei Wei yang menyeru ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan AMANAH di Sarawak, supaya memberikan sokongan serta undi kepada calon DAP dan PBDS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dalam kenyataan media hari ini menegaskan bahawa sebarang pendirian atau keputusan politik parti itu di Sarawak hendaklah berdasarkan keputusan rasmi dan ketetapan kepimpinan parti.
Menurut kenyataan itu, mana-mana individu tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mewakili pendirian PKR dan AMANAH Sarawak tanpa mandat jelas daripada kepimpinan parti.
MPN PKR Sarawak turut menegaskan bahawa kerjasama dalam PH perlu berlandaskan semangat saling menghormati, persefahaman dan keputusan bersama.
“Kerjasama politik juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menentukan pendirian parti lain secara sepihak.
“Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak menolak sebarang cubaan mengaitkan nama, keahlian dan sokongan parti itu dengan arahan politik yang tidak mendapat pengesahan rasmi kepimpinan parti.
“Ahli dan penyokong PKR di Sarawak turut diseru supaya kekal tenang, berdisiplin serta tidak terpengaruh dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan parti komponen PH,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
MPN PKR Sarawak turut menegaskan bahawa pendirian parti hanya boleh ditentukan oleh kepimpinan melalui saluran dan proses yang sah, dan tiada individu boleh membuat keputusan bagi pihak parti tanpa mandat sewajarnya.




