SIBU, 29 Nov: Kekurangan penganjuran kejohanan olahraga kompetitif di Sarawak perlu diberi perhatian serius bagi memastikan pembangunan atlet negeri tidak terbantut, khususnya dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran pertandingan secara konsisten amat penting kerana olahraga merupakan antara disiplin sukan yang menawarkan jumlah pingat terbesar dalam temasya sukan pelbagai acara.
“Kita tidak boleh melahirkan juara dalam sekelip mata. Ia memerlukan proses yang panjang. Kita tidak boleh hanya menganjurkan satu kejohanan olahraga utama seperti ini dalam setahun. Kita perlu menganjurkan beberapa kejohanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Olahraga Terbuka Sibu 2026 di Stadium Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, pertandingan yang diadakan secara berkala membolehkan atlet mengukur pencapaian masing-masing, mengenal pasti kelemahan serta menilai tahap keupayaan mereka berbanding pesaing.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi badan induk olahraga negeri yang disifatkan masih belum memenuhi harapan, meskipun menerima peruntukan kerajaan setiap tahun, khususnya dari segi penganjuran pertandingan bagi menyokong pembangunan atlet.
Bagaimanapun, beliau memuji Persatuan Olahraga Sibu (SAA) di bawah kepimpinan Dr Gregory Hii yang terus komited menganjurkan kejohanan berkenaan meskipun berdepan pelbagai kekangan. Beliau turut menghargai sokongan sektor swasta dalam usaha memajukan sukan olahraga.
Katanya, pembangunan olahraga juga perlu diberikan penekanan lebih besar menjelang persiapan Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan sukan utama, mengambil kira potensi disiplin itu untuk menyumbang sejumlah besar pingat kepada negeri.
Abdul Karim turut berharap Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), kementeriannya dan Jabatan Pendidikan dapat memperkukuh kerjasama bagi memastikan pembangunan olahraga dilaksanakan secara lebih menyeluruh, termasuk di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, usaha mendapatkan sokongan institusi serta peruntukan kewangan lebih besar bagi penganjuran kejohanan seumpama itu akan dilaksanakan mulai tahun depan sekiranya beliau terus menerajui portfolio sukan.
Menurutnya, usaha itu turut merangkumi penerokaan sumber peruntukan berkaitan pelancongan memandangkan kejohanan berkenaan berpotensi menarik penyertaan atlet dari luar Sarawak.
Oleh Tarani Lanting




