KUCHING, 29 Nov: Sarawak dijangka merekodkan kira-kira 30,000 kes yang memerlukan perkhidmatan penjagaan paliatif setiap tahun menjelang 2030 berikutan peningkatan populasi warga emas, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, peningkatan itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan paliatif bagi memastikan pesakit yang menghidap penyakit serius menerima penjagaan sewajarnya, khususnya pada penghujung hayat mereka.
Menurutnya, perkhidmatan penjagaan paliatif di Kuching yang dimulakan kira-kira 10 tahun lalu di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan hanya dua katil kini berkembang hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk pertubuhan kebajikan dan sukarelawan.
Beliau berkata, Sarawak turut membangunkan perkhidmatan penjagaan paliatif di seluruh negeri menerusi usaha melatih doktor dan jururawat dalam bidang berkenaan.
“Kanser tidak hanya berlaku di Kuching. Pesakit di kawasan pedalaman juga memerlukan penjagaan paliatif kerana penyakit itu tidak mengenal lokasi atau tempat tinggal seseorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Amal Krismas Illuminare 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, usaha memperkukuh perkhidmatan itu turut menyaksikan penubuhan pusat penjagaan paliatif Kuching Life Care di Desa Wira, Batu Kawa, yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM17 juta dan mempunyai kapasiti 58 katil.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan bersetuju menggunakan kemudahan berkenaan bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif secara percuma kepada pesakit yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berkongsi pengalaman peribadi menjaga ibunya yang menghidap kanser kolon berulang dan memilih untuk menghabiskan sisa kehidupannya di rumah bersama keluarga.
“Walaupun saya seorang doktor, menjaga ibu sendiri sangat berbeza berbanding merawat pesakit di wad hospital,” ujarnya.
Beliau berkongsi, ibunya berpeluang menghabiskan tujuh minggu terakhir kehidupannya di rumah dengan bantuan keluarga serta bimbingan pasukan penjagaan paliatif.
“Kami sangat bersyukur kerana dapat menghabiskan tujuh minggu bersamanya di rumah, memegang tangannya dan meluangkan masa bersama,” katanya.
Pengalaman itu, jelasnya, memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai cabaran menjaga pesakit yang memerlukan penjagaan paliatif, selain kepentingan sokongan daripada organisasi seperti Persatuan Kanser dan Kuching Life Care.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lebih 80 sukarelawan serta semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan penjagaan paliatif di Sarawak.
“Di Sarawak, kita memilih untuk memainkan peranan masing-masing dan bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mengunjungi pusat penjagaan paliatif Kuching Life Care bagi melihat sendiri kemudahan disediakan serta memahami bagaimana sumbangan masyarakat dimanfaatkan untuk membantu pesakit.
Oleh Adele Rissa




