Di sebalik kemenangan, tersimpan kerinduan Dayang Noorazah terhadap Yan dan Mak

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah semasa menziarahi pusara kedua ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Simanggang, pagi tadi. Foto DNAS

SIMANGGANG, 29 Nov: Kemenangan tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Lingga pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) menjadi detik penuh bermakna buat penyandangnya, Dayang Noorazah Awang Sohor, yang turut mengenang jasa serta pengorbanan kedua-dua ibu bapanya.

Di sebalik sejarah kemenangan yang dicatatkan hari ini, beliau mengakui kejayaan itu hadir bersama kerinduan mendalam terhadap arwah ayah dan ibunya yang tidak berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan politik serta pencapaian anak mereka.

Menerusi luahan penuh emosi selepas menziarahi pusara Yan dan Mak (ibu dan bapa) hari ini, Dayang Noorazah berkata, beliau tidak pernah menyangka perjalanan kali ini akan dipermudahkan sehingga membolehkannya memperoleh kemenangan tanpa bertanding.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya perjalanan kali ini akan dipermudahkan sebegini rupa. Namun, saya percaya setiap ketentuan Allah pasti ada hikmahnya.

“Kemenangan ini bukan alasan untuk saya berasa selesa, sebaliknya satu amanah dan cabaran yang lebih besar untuk saya bekerja lebih keras daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa kejayaan tersebut sebenarnya ingin dikongsikan bersama kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber doa, kekuatan dan inspirasi sepanjang kehidupannya.

Menurutnya, pesanan arwah Yan agar tidak melupakan tanggungjawab terhadap rakyat selepas menjadi pemimpin terus terpahat kukuh dalam ingatan dan menjadi panduan utama dalam perjuangannya.

“Bila kau dah jadi pemimpin suatu hari kelak, kehidupan kau bukan lagi milik kamek (kami) serta keluarga jak, tapi milik rakyat juak.

“Camni kau sayangkan keluarga kau, camya juak kau jaga dan sayangkan rakyat di bawah kau,” katanya mengimbas kembali pesanan arwah ayahnya.

Pesanan itu, katanya, menjadi pembakar semangat untuk terus menjaga kebajikan, menyantuni masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab terhadap seluruh rakyat DUN N.28 Lingga dengan penuh keikhlasan.

Dayang Noorazah turut mengakui dirinya bukan pemimpin yang sempurna, namun berjanji menjadikan setiap teguran dan kritikan sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuh khidmat kepada masyarakat.

“Alangkah indahnya kalau kamu berdua masih ada di sisi saya, menyaksikan sendiri perjalanan ini. Terlalu singkat masa yang Allah pinjamkan untuk kita bersama,” luahnya.

Beliau berharap setiap kebaikan yang dilakukan sepanjang menggalas amanah sebagai wakil rakyat turut menjadi asbab mengalirnya pahala buat kedua-dua ibu bapanya.

Dayang Noorazah menegaskan perjuangannya untuk rakyat Lingga akan diteruskan, berpandukan pesanan serta nilai kasih sayang yang ditinggalkan oleh arwah ibu dan bapanya.

“Perjuangan ini akan saya teruskan. Pesan Yan dan Mak akan saya pegang. Kasih kamu berdua akan saya bawa hingga ke akhir hayat. Sehingga kita dipertemukan kembali di syurga Allah, insya-Allah,” katanya.

Oleh Adi Safarman