Gaya hidup sihat perlu jadi amalan masyarakat – Majang

Facebook
WhatsApp
DATUK Majang Renggi menyampaikan ucapan pada Program Hari Sihat Masjid Darul Hidayah 2026 bersama komuniti Qariah yang berlangsung di Masjid Darul Hidayah, Kawasan Perumahan MLNG Kidurong, pagi ini.

BINTULU, 29 November: Amalan gaya hidup sihat perlu dijadikan sebahagian daripada rutin harian masyarakat bagi memastikan kesejahteraan diri serta meningkatkan kualiti hidup, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi.

Beliau berkata, penjagaan kesihatan tidak semestinya memerlukan kemudahan mahal, sebaliknya boleh dimulakan melalui aktiviti mudah seperti berjalan kaki dan melakukan senaman ringan secara konsisten.

AKTIVITI senamrobik diadakan sempena Program Hari Sihat Masjid Darul Hidayah 2026 Bersama Komuniti Qariah di Kawasan Perumahan MLNG Kidurong.

Menurutnya, penganjuran program berasaskan kesihatan seperti senamrobik dan berjalan pantas (brisk walk) merupakan pendekatan baik untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih aktif.

“Kita tidak semestinya memerlukan kemudahan yang mahal untuk menjaga kesihatan. Sebaliknya, aktiviti mudah seperti berjalan kaki dan melakukan senaman ringan secara konsisten juga mampu memberikan manfaat kepada tubuh badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Sihat Masjid Darul Hidayah 2026 Bersama Komuniti Qariah di Masjid Darul Hidayah, Kawasan Perumahan MLNG Kidurong, di sini.

DATUK Majang Renggi menyertai aktiviti berjalan pantas (brisk walk) bersama komuniti pada Program Hari Sihat Masjid Darul Hidayah 2026 Bersama Komuniti Qariah di Kawasan Perumahan MLNG Kidurong.

Majang berkata, aktiviti seumpama itu boleh disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, ibu bapa dan warga emas mengikut kemampuan masing-masing.

Justeru, beliau berharap penyertaan dalam program berkenaan bukan sekadar memenuhi pengisian aktiviti, tetapi menjadi permulaan kepada perubahan gaya hidup lebih sihat dalam kalangan komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan turut memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama melalui aktiviti yang sihat, menyeronokkan dan bermanfaat.

Katanya, pertemuan antara penduduk menerusi program komuniti juga dapat membuka ruang untuk saling mengenali, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan kejiranan.

Beliau menambah, hubungan kejiranan yang baik mampu melahirkan masyarakat yang saling membantu dan mengambil berat terhadap kebajikan antara satu sama lain.

Pada masa sama, Majang mahu masjid terus memainkan peranan sebagai pusat pembangunan masyarakat yang menyeluruh, bukan hanya sebagai tempat menunaikan solat dan melaksanakan aktiviti keagamaan.

Menurutnya, masjid juga berfungsi sebagai pusat ilmu dan penyatuan komuniti yang mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat seimbang dari aspek fizikal, mental, rohani dan sosial.

Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih meluas daripada komuniti serta kerjasama pihak masjid, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.

Oleh Faizah Muzidi