Mong Dagang berdepan saingan tiga penjuru, buru penggal kelapan di Bukit Begunan

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang diiringi seramai 1,200 penyokong GPS yang hadir memberikan sokongan dalam perarakan menuju pusat penamaan calon di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman. Foto: Unit Media dan Komunikasi DUN N31 Bukit Begunan

SIMANGGANG, 28 Nov: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang bakal berdepan saingan dua pencabar dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal kelapan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Mong yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Jimmy Uding dan calon Bebas, Mohd Melintang Abdullah.

Kira-kira 1, 200 penyokong GPS hadir memberikan sokongan kepada Mong dengan mengiringi beliau dalam perarakan menuju pusat penamaan calon di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman, pagi tadi.

Perarakan yang bermula sekitar 8.30 pagi itu menyaksikan Mong diiringi beberapa pemimpin parti sebelum memasuki pusat penamaan calon bagi menyerahkan kertas pencalonannya.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Sri Aman merangkap Ketua Wanita PRS, Dato Sri Doris Sophia Brodie serta Ahli Majlis Tertinggi PRS, Kaunselor Mathew Igoh.

Pada 10.35 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN N.31 Bukit Begunan mengesahkan ketiga-tiga calon layak bertanding, sekali gus menyaksikan saingan rasmi tiga penjuru bagi kerusi berkenaan.

Mong, 71, merupakan antara pemimpin politik berpengalaman di Sarawak apabila pertama kali dipilih sebagai ADUN Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1996. 

Beliau telah memenangi kerusi tersebut sebanyak tujuh kali termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 1997, dengan kemenangan terbaharu pada PRN Sarawak 2021.

Mong turut memegang beberapa jawatan penting termasuk Naib Presiden PRS serta pernah berkhidmat dalam kabinet Sarawak sebagai Menteri Muda Pelancongan dari 2011 hingga 2016 dan Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran).

Sebelum menceburi politik, beliau mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam sektor perbankan bersama Bank Bumiputra Malaysia Berhad sebelum meletakkan jawatan pada 1996 untuk menyertai pilihan raya.

Kini, selepas hampir tiga dekad mewakili Bukit Begunan, Mong sekali lagi berdepan ujian politik apabila dua pencabar baharu tampil merebut kepercayaan pengundi.

Usaha mempertahankan rekod tujuh kemenangan itu bakal menjadi tumpuan dalam saingan PRN13, ketika pengundi menentukan mandat seterusnya bagi kawasan berkenaan.

Oleh Adi Safarman