KUALA LUMPUR, 28 November: Sebanyak 4,700 penggiat industri kreatif, termasuk 200 artis veteran menerima manfaat perlindungan keselamatan sosial menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan penggiat seni, termasuk mereka yang bertugas di belakang tabir terus terbela menerusi jaringan perlindungan sosial negara.
“Di sebalik tabir, kebajikan penggiat seni juga perlu dijaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata inisiatif FINAS-Perkeso itu turut memperluas akses kepada perlindungan sosial dalam kalangan penggiat industri kreatif, berbanding pada 2022 yang belum menyaksikan pelaksanaan inisiatif khusus penajaan caruman Perkeso bagi golongan berkenaan.
Pada April 2024, FINAS mengumumkan penajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada 4,500 penggiat seni dengan jumlah tajaan RM104,850, hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Sumber Manusia.
Menerusi skim itu, individu yang bekerja sendiri mendapat perlindungan terhadap bencana pekerjaan, termasuk kemalangan dan penyakit pekerjaan ketika menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan, selain faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal serta faedah kepada orang tanggungan sekiranya berlaku kematian akibat bencana pekerjaan.- Bernama




