SIBU, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, bertekad meneruskan agenda pembangunan yang dilaksanakannya sepanjang lima tahun lalu sekiranya diberi mandat untuk penggal kedua.
Beliau berkata, penyelesaian masalah banjir secara menyeluruh menjadi keutamaan, selain penambahbaikan sistem aliran trafik bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penduduk.
“Keutamaan segera saya adalah menyelesaikan usaha yang telah dimulakan, khususnya berkaitan mitigasi banjir.
“Saya mahu masalah banjir di Pelawan ditangani secara menyeluruh menerusi pendekatan dan strategi holistik,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya menerusi penyusunan semula aliran trafik, pembinaan jalan baharu dan pelebaran beberapa jalan utama turut menjadi fokus sekiranya dipilih semula.
Katanya, pembangunan infrastruktur itu penting bagi menjadikan Pelawan kawasan pilihan golongan usahawan dan komuniti perniagaan, selain destinasi kediaman pilihan keluarga di Sibu.
Beliau turut mahu memastikan Pelawan memainkan peranan penting dalam merealisasikan cadangan pewujudan Zon Ekonomi Sibu, sekali gus menikmati limpahan manfaat daripada pembangunan ekonomi berkenaan.
Mengulas pencalonannya bagi penggal kedua, Tiang berkata, sebahagian komitmen yang diberikan kepada pengundi sepanjang lima tahun lalu telah ditunaikan, seperti yang ditunjukkan menerusi kad laporannya.
“Untuk lima tahun akan datang, saya ingin menjanjikan kepada pengundi bahawa yang terbaik masih belum tiba.
“Sekiranya dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, saya akan melakukan lebih banyak lagi dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kelancaran proses penamaan calon hari ini sebagai perkembangan positif dalam amalan demokrasi, selain menganggap hujan pada pagi ini sebagai petanda baik.
Tiang turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, penyokong, pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kempennya atas kerjasama dalam memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Katanya, beliau akan segera mengadakan perbincangan dengan pasukan kempen bagi menyusun jadual sepanjang tempoh 14 hari berkempen untuk mendekati seramai mungkin pengundi.
Pada PRN13, Tiang berdepan saingan tiga penjuru di DUN Pelawan menentang calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Irene Wong Lee Ting dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Priscilla Lau.
Oleh Akun Giman



